Bersedia sertai kerajaan di P Pinang, Selangor, dan N Sembilan – Zahid

UMNO diminta bersedia untuk menyertai kerajaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan selepas PRN akan datang.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dengan kerajaan perpaduan akan mampu menghadapi Pilihan Raya Negeri “dengan gagah dan kuat”.

“Kerajaan perpaduan penyelesaian terbaik untuk parti bagi mengelakkan parti sekali lagi diratah perpaduannya,” kata Zahid ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.

Enam negeri itu dijangka mengadakan PRN sekitar pertengahan tahun ini. Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan ditadbir Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, bagi memastikan fokus dan strategi dapat disusun dengan baik, Zahid mengumumkan pelantikan beberapa menteri UMNO sebagai “bapa angkat” di negeri-negeri terbabit.

Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengetuai gerak kerja di Pulau Pinang, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di Selangor, dan Zahid sendiri di Negeri Sembilan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid pula akan mengetuai gerak kerja di Kedah, Datuk Seri Zambry Abd Kadir di Kelantan, dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Terengganu.

Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan tugasnya sebagai pengarah pilihan raya dan pengerusi “war room” PRN di enam negeri berkenaan, manakala Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai penyelaras operasi PRN.

”Kita mesti berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk melakukan kerja mulai dari sekarang. Enam menteri serta naib presiden yang saya lantik tadi, saya yang bertugas untuk memastikan semuanya berprestasi termasuk Tengku Zafrul,” katanya.

Zahid berkata kepimpinan UMNO bersepakat bahawa parti itu mesti disegarkan dengan melakukan perubahan dan pembaharuan.

“UMNO perlu diremajakan. Remaja dalam konteks muka-muka baharu dan idea-idea segar. UMNO mesti berupaya menawarkan harapan baharu buat rakyat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *