Zahid jelaskan alasan UMNO pilih PH walau ada ‘No Anwar No DAP’

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan alasan berkenaan keputusan parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di sebalik ketetapan no Anwar dan no DAP sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata, walaupun keputusan itu dibuat oleh perhimpunan parti sebelum ini, ada fasal dalam perlembagaan UMNO memberikan kuasa kepada salah satu badan parti bagi.

“Merujuk kepada Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO, ia memberi kuasa kepada majlis kerja tertinggi (MKT) untuk menjalankan kerja pentadbiran parti di bawah perhimpunan agung.

“Ada suara mempertaikankan parti apabila bekerjasama dengan PH dengan mengungkit ketetapan menolak Anwar Ibrahim dan DAP sebelum ini.

“Mereka ini cenderung untuk melihat UMNO bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang disertai antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.

“Kelompok yang bersuara ini tidak pula menyebut PAU juga membuat keputusan dan ketetapan no Bersatu,” katanya dalam ucapan dasar presiden di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan sebagai sebuah parti berperlembagaan, UMNO membuat keputusan sesuai dengan peraturan yang ada.

Justeru katanya fasal 9.1 menyebutkan MKT berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak perhimpunan agung dan keputusan berkenaan hendaklah dimaklumkan kepada perhimpunan agung.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu BN mencatat keputusan terburuknya apabila hanya memenangi 30 kerusi Dewan Rakyat dengan 26 daripada diwakili UMNO.

Pada masa sama tiada parti lain mampu mendapat majoriti kerusi parlimen dan ia menyebabkan berlaku kebuntuan politik selama beberapa hari selepas berakhirnya PRU ke-15.

Umno-BN kemudian memutuskan untuk memberikan sokongan kepada PH yang diketuai Anwar dan turut dianggotai DAP untuk membentuk kerajaan pusat.

Pada masa sama wujud kumpulan tertentu yang keberatan dengan langkah tersebut dan menunjukkan keengganan mereka sama ada secara terbuka atau tersirat.

Kumpulan terbabit dilihat lebih cenderung kepada PN.

Berdasarkan keadaan ketika itu, jika sokongan diberikan kepada BN, parti itu akan membantu Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Selaras dengan pembentukan kerajaan gabungan bersama PH, Ahmad Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pendirian UMNO membentuk kerajaan dengan PH adalah selaras perakuan yang diberikan kepada Yang di- Pertuan Agong yang mahukan kerajaan perpaduan diwujudkan.

“Pada masa yang sama PH juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebaliknya Perikatan Nasional (PN) menolak titah berkenaan.

“Makanya, sesuai dengan perlembagaan parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat MKT telah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi,” katanya lagi.

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi pemilihan PH juga adalah berdasarkan jumlah kerusi yang diberikan rakyat kepada parti itu dan mandat lebih besar rakyat beri kepada mereka.

“Setelah dibahaskan, MKT membuat ketetapan untuk memilih bersama PH bagi menubuhkan kerajaan perpaduan Malaysia,” katanya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *