PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan yang dibuat untuk menyingkirkan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan besar parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu beliau mendakwa terdapat rundingan pintu belakang yang diatur dengan Perikatan Nasional (PN) melalui Langkah St Regis.
“Saya tidak mahu mencanangkan di sini, siapa dan apakah gerakan itu kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik serakah peribadi mereka terlibat tanpa memikirkan mudarat kepada parti.
“Semoga dengan penjelasan ini, letakkanlah noktah kepada polemik ini. Saya tahu, perkara-perkara ini menjadi modal yang terus dimainkan tambahan pula pemilihan parti semakin hampir.
“Termasuklah, saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden parti. Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.
“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ yang mana ‘fake’,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Leave a Reply