Pas bunuh UMNO: Pas sanggah kenyataan Timbalan Presiden UMNO

KENYATAAN Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Pas mahu membunuh UMNO dan pada masa sama menyifatkan DAP sebagai parti politik yang tidak bermuka-muka dan berpura-pura semasa berucap pada perasmian perhimpunan agung sayap UMNO malam semalam mengundang pelbagai kritikan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan antara yang tidak bersetuju dengan kenyataan Mohamad atau Tok Mat yang menyaksikan beliau berterus-terang dengan perwakilan tentang kerjasama UMNO dengan seteru lama, DAP.

Berikuta adalah kenyataan penuh Takiyuddin:

Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan, bahawa Pas ‘ingin membunuh’ UMNO dalam politik negara ini dan pada masa yang sama menganggap DAP ikhlas terhadap UMNO adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan dibuat dalam keterpaksaan.

Hakikatnya rakaman sejarah politik negara ini menunjukkan UMNO terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan Pas termasuk percubaan untuk mengharamkannya pada suatu ketika dahulu.

Sebaliknya sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasarnya, Pas sentiasa berazam dan bertindak mendekati UMNO dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu yang merupakan kelompok majoriti rakyat negara ini.

Usaha Penyatuan Ummah juga seterusnya digagaskan merentasi rakyat pelbagai kaum dan agama bagi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni melalui saluran demokrasi dan berlandaskan lunas undang-undang.

Sehubungan itu sebagai sebuah parti arus perdana, Pas akan terus bersikap terbuka serta bersedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan dengan mana-mana pihak dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata.

Pas amat yakin hanya dengan perpaduan semua parti-parti politik yang terbentuk di atas keikhlasan dan niat murni sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada seluruh rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh semua.

Dalam pada itu, Pas juga sentiasa menjunjung tinggi amalan serta pendekatan yang matang dan sejahtera dalam politik negara kita selain mendoakan agar sikap melulu, provokatif dan tidak berpijak pada kenyataan atas apa juga sebab dan tujuannya tidak akan menggugat serta merosakkan kesejahteraan dan hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita.

‘MALAYSIA SEJAHTERA’

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
13 Januari 2023


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *