PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau boleh sahaja meletakkan tanggungjawab di bahu ‘poster boy’ susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Namun saya memilih untuk tidak berbuat demikian kerana mahu memastikan parti bergerak ke hadapan dan bukan terus mencari kesalahan,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengakui, kekalahan BN juga telah mengundang pelbagai pandangan, desakan serta kecaman.
“Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca dengan menuding jari ke sana sini. Akan tetapi, janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait.
“Saya boleh sahaja menggariskan; adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri. UMNO katanya parti korup, UMNO sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan.
“Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak pembangkang menyerang kembali UMNO. Boleh juga saya menyebut, poster boy…. poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU15.
“Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, lapor Astro Awani.
Pada PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri ketika itu dijadikan ‘poster boy’ bagi BN untuk menghadapi PRU15.
Menerusi PRU15, UMNO hanya memenangi 30 kerusi Parlimen.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya mengumpamakan pihak yang sebelum ini menyalahkan UMNO namun muncul kembali selepas parti itu menjadi kerajaan seperti kura-kura.
Bercakap secara berkias dalam ucapan dasar presiden pagi ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan ketika BN gagal membentuk kerajaan dan sedang berdepan pilihan sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), mereka menjauhkan diri.
Kononnya, kata Ahmad Zahid, sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-15 lalu.
“Tidak kurang juga setelah tewas dalam pemilihan mereka terus menyepikan diri, ibarat kura-kura yang menyorokkan kepala,” katanya.
Ahmad Zahid memberitahu pihak terbabit melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO seperti menggelarnya parti korup dan sudah rosak.
Hujah itu, katanya, kemudian digunakan pula oleh pihak lawan untuk mengalahkan UMNO.
Ketika pemimpin parti cuba mengembalikan kekuatan UMNO semula, tambahnya, ‘kura-kura’ berkenaan muncul dan mengeluarkan kepalanya kembali.
Leave a Reply