Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

BEKAS pelari pecut wanita negara Anita Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, pada usia 49 tahun, semalam. 

Berita pemergian atlet yang pernah beraksi pada Sukan SEA era 80-an itu dikongsi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata arwah meninggal dunia kira-kira 7.15 petang semalam akibat kanser payudara yang dialaminya sebelum ini, yang merebak ke tulang belakang. 

“Pada Disember lepas, arwah dimasukkan ke PPUM, dan pihak YAKEB membawa beliau ke hospital swasta untuk imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), dan kanser beliau didapati semakin parah.

“Beliau bersungguh-sungguh melawan kanser, namun meninggal dunia pada hari kelahirannya semalam,” katanya. 

Noorul Ariffin berkata pemergian Anita yang pernah beraksi pada Sukan Asia di China pada 1990 disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena olahraga tanah air. 

Katanya, Anita yang merupakan ahli Yakeb, banyak memberi nasihat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama negara. 

Pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Anita yang ketika itu berusia 21 tahun bersama gandingannya G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar memperbaharui rekod kebangsaan acara 4×100 meter dengan catatan 45.37 saat. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *