Oleh RIZQI ZABIDI
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana hanya ‘bercakap’ tanpa bertindak berhubung dakwaan berlaku politik wang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hingga menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional (BN).
Menurut Muhammad Sanusi, Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh menyuruh agensi terlibat untuk menangkap semua pihak yang bermain politik wang seperti didakwa.
Namun katanya Ahmad Zahidi memilih langkah sebaliknya dengan cuba memalitkan tuduhan yang selama ini menyelubungi partinya kepada pihak lain.
“Beliau dah jadi Perdana Menteri maka suruhlah agensi terlibat tangkap semua ‘hat’ main politik wang itu. Jangan cakap banyak, pi tangkap sebab dah ada kuasa.
“Kami ini mana ada duit nak main politik wang. Yang tersohor di serantau dunia kerana main politik wang adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Parti lain tak ada tetapi UMNO dan BN ini sejak 70-an dan 80-an hinggalah sekarang. Tak payahlah palit pada orang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Perdabandaran Mampu Miliki Darul Aman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 di Jitra, Kedah, hari ini.
Dalam Program Bual Bicara Naratif Khas disiarkan RTM Isnin lalu, Ahmad Zahid mendakwa politik wang menjadi faktor utama tsunami poliiitik yang mengakibatkan kejatuhan BN pada PRU-15 hingga menyebabkan gabungan itu hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen.
Menurut Presiden UMNO itu, ‘kuasa beli luar biasa’ daripada parti lawan menyebabkan pengundi berubah sikap dan gagal menilai prestasi politik khidmat yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Sehubungan itu Ahmad Zahid menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tahun ini.
Diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid kepada perwakilan UMNO semalam yang didakwa memberi bayangan bahawa gabungan tersebut akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam PRN, namun memilih kekal menggunakan logo BN, Muhammad Sanusi berkata, terpulang kepada gabungan tersebut untuk menggunakan apa saja logo dimahukan.
“Silalah guna logo apa pun, orang kenal dah ‘hangpa’,” katanya.
Leave a Reply