Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PERDEBATAN mengenai isu haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran di negeri Terengganu tidak pernah selesai.
Malah, sejak kebelakangan ini isu tersebut semakin hangat diperbualkan walaupun pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya melibatkan Majlis Daerah di negeri ini telah bertindak menangkap serta mengenakan kompaun ke atas pemilik ternakan terbabit.
Justeru, bagi menangani perkara ini kerajaan negeri khususnya PBT mestilah bertindak lebih tegas dengan mengenakan ‘hukuman’ lebih berat ke atas pemilik haiwan ternakan yang sentiasa bersikap sambil lewa terhadap ternakan masing-masing.
Sebelum ini sudah berulang kali kerajaan negeri mengingatkan kepada orang ramai, kalau ingin menternak lembu, kambing atau kerbau mestilah di ladang, bukan di kawasan kampung dengan membiarkannya berkeliaran tanpa kandang.
Malangnya, peringatan tersebut seolah-olah langsung tidak diendahkan oleh kebanyakan penternak haiwan.
Apa yang dikesalkan semakin ramai pula orang yang menternak lembu, kambing dan kerbau di kawasan kampung.

Ada perternak haiwan yang memiliki lebih 20 ekor lembu masih memelihara di kawasan rumah dengan dibiarkan berkeliaran di merata tempat.
Mereka hanya mencari ternakan masing-masing pada waktu petang, itupun kalau cuaca tidak hujan.
Kalau hari hujan lembu-lembu berkenaan ada yang menceroboh ke halaman dan di dalam pagar orang lain di samping memakan tanaman.
Selain itu, ada juga ternakan berkenaan ‘menumpang’ tidur di bawah rumah dan kawasan garaj kereta rumah jiran.
Apabila dimaklumkan kepada pemilik haiwan terbabit, akhirnya berlakulah pertengkaran mulut.

Maka itu, penulis berpendapat sudah sampai masanya isu ini perlu diselesaikan dengan segera.
Ini kerana, isu haiwan ternakan berkeliaran ini bukan perkara baharu, sebaliknya sudah sekian lama diperkatakan.
Sikap tidak bertanggungjawab penternak haiwan ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang awam kerana ia bukan sahaja mengotorkan kawasan kampung dan halaman orang kerana meninggalkan najis di merata tempat.
Sebaliknya ternakan berkeliaran tersebut turut merosakkan tanaman orang lain disamping boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya khususnya di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
Kejadian kemalangan yang mengorbankan sembilan ekor lembu setelah dirempuh dua kenderaan di LPT2 berhampiran Kijal, Kemaman pada hujung bulan Januari lalu seharusnya dijadikan iktibar.

Sebelum sesuatu lebih besar bakal terjadi, kita perlu mencari kedah dan pendekatan terbaik dalam mengatasi isu penternakan lepas bebas yang masih diamalkan kebanyakan penternak di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim pernah menyatakan bahawa isu penternakan lepas bebas ini amat berisiko termasuk kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Leave a Reply