Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

SEORANG pemimpin Wanita UMNO Kedah menggesa kerajaan menaikkan semula had umur mengundi kepada 23 tahun kerana remaja berusia 18 tahun masih belum matang.

Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai Norma Awang, pengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan.

“Sebab itu kita sarankan kepada penggubal undang-undang dan wakil Umno dalam kerajaan ubah semula had umur mengundi ini,” katanya ketika perbahasan sayap Wanita UMNO di WTC di ibu negara hari ini.

Norma berkata, Barisan Nasional tidak cukup “ranggi” dan “loklaq” bagi menawan hati serta aspirasi anak muda, yang menjadi punca prestasi buruk UMNO dalam pilihan raya umum ke-15.

Katanya, jangan dibanding remaja 18 tahun di Malaysia dengan rakan sebaya mereka di luar negara terutama di Barat.

Menurutnya, di kebanyakan negara Barat, ramai remaja 18 tahun sudah mengikuti pengajian Masters dan PHD tetapi di Malaysia kebanyakan remaja masih “terkial-kial menagih ketum, asyik dengan TikTok dan bermadu asmara cinta monyet”.

“Remaja 18 tahun di negara ini, seluar dalam pun emak bapak yang masih beli dan mereka baru selesai peperiksaan SPM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Atas faktor itu, kata Norma, had umur mengundi di Malaysia perlu dinaikkan kepada 23 tahun, tambahnya, pengundi setidaknya habis pengajian ijazah pertama.

Inisiatif Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan sejak Dis 2021, menurunkan had umur pengundi daripada 21 ke 18 tahun.

PRU15 adalah kali pertama pelaksanaan inisiatif itu dan pendaftaran pengundi automatik. Ini menyebabkan penambahan 5.8 juta pengundi baharu, peningkatan sebanyak 40 peratus.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *