Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

ORANG muda akan mengabaikan UMNO jika ia tidak membenarkan dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan, kata seorang penganalisis politik.

Penganalisis di Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, ia penting bagi membuktikan UMNO mengamalkan dan menghargai demokrasi.

“Pertandingan penting kerana ia membuktikan UMNO mengamalkan demokrasi dan menghargainya, walaupun dalam bentuk paling asas iaitu membenarkan pemilihan bagi semua jawatan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Beliau mengulas seruan bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Semalam, sekumpulan ketua bahagian UMNO menyeru dua jawatan itu tidak dipertandingkan, kerana parti perlu diperkukuhkan menjelang PRN akan datang.

Fauzi berkata UMNO akan terjejas sekiranya ia tidak membenarkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, dicabar.

“Ini akan menyahkan sokongan daripada golongan muda. Tidak membenarkan pertandingan hanya mengesahkan usaha penyandang daripada generasi tua untuk terus berkuasa dan memegang jawatan selama mungkin.

“Prospek UMNO akan jadi kelam,” katanya, dan menambah parti itu kini bukan lagi dalam kedudukan kanan dalam kerajaan, sejak mengalami kemunduran dari 2008.

“UMNO tidak faham jenama politik reformasi yang menawan pemikiran golongan muda sejak 20 tahun lalu, dan mereka ini yang menyebabkan Umno kalah pada PRU 2018 dan 2022,” katanya.

Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, pertanidngan untuk jawatan tertinggi penting untuk UMNO kerana imej parti itu dan Zahid tercemar akibat kes-kes di mahkamah.

“Malah, antara sebab kejatuhan UMNO adalah kepimpinannya. UMNO perlu tukar nakhoda untuk maju ke depan. UMNO tak boleh hidup dalam penafian.

“Keputusan PRU15 yang mana UMNO sekadar menang 26 kerusi menunjukkan apa persepsi orang awam terhadap parti itu dan kepimpinannya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata UMNO akan menghantar isyarat yang ia tidak mampu berubah dan enggan berubah demi memuaskan hati pemimpin semasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *