PARTI Gerakan Malaysia (Gerakan) mensasarkan untuk menawan kembali Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee berkata, pihaknya bersama parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) telah pun merangka strategi untuk mencapai objektif tersebut.
Jelas beliau, setakat ini, Gerakan telah mencapai 90 peratus tahap kesiapsagaan untuk ‘bertarung’ dengan DAP bagi merampas semula Pulau Pinang.
“Fokus utama Gerakan dalam PRN kali ini adalah Pulau Pinang yang mana kita telah melihat terdapat perubahan dari sudut sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“PN menunjukkan peningkatan sokongan luar biasa dan ini termasuklah parti Gerakan yang mana semakin ramai pengundi Melayu beralih kepada kita,” katanya memetik laporan UtusanTV.
Mengulas lanjut, Shiaw Lee berkata, antara strategi yang diguna pakai dalam menghadapi PRN kali ini adalah dengan mendekati dan meraih perhatian golongan muda di media sosial.
Jelas beliau, hal itu memandangkan media sosial merupakan satu daripada ‘lubuk’ utama PN meraih sokongan golongan muda dalam PRU15.
“Media sosial bukan sahaja cara terbaik untuk mendekati golongan muda, tetapi juga golongan pertengahan.
“Kita juga kekal menggunakan kaedah fizikal seperti bersemuka dengan pengundi dan menyampaikan maklumat melalui media cetak,” katanya.
Mengulas mengenai pola pengundi Cina pasca PRU15, Shiaw Lee mengakui DAP masih lagi dominan berbanding Gerakan serta MCA.
Begitupun, jelas Shiaw Lee, data PRU15 menunjukkan Gerakan juga berjaya menambah jumlah sokongan pengundi Cina walaupun jumlahnya tidak begitu besar.
“Ini satu perkembangan positif. Ketika ini DAP yang berada dalam blok kerajaan juga mempunyai liabiliti kerana menabur banyak janji-janji yang perlu dipenuhi dalam PRU15.
“Selain itu, keberadaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan juga dilihat akan menyulitkan DAP dalam PRN kali ini.
“Sudah tentu akan berlaku pertembungan dalaman untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu antara DAP dan MCA sekiranya tiada penyelesaian yang baik antara kedua-dua parti tersebut,” katanya.
Leave a Reply