Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

SYOR jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan kepada mana-mana ahli dan pemimpin dilihat sebagai menutup pintu demokrasi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti itu wajar memberi hak kepada ahli untuk mengundi dan membuat keputusan dalam memilih barisan pemimpinnya.

“Kita kena praktis dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk membuat keputusannya. Kerana ini adalah ‘training ground’.

“Tengok parti lain PKR, DAP, PAS dia jalan (pemilihan) dulu, bergasak…dia bergasak juga, tapi akhirnya apa jadi? dia (Pakatan Harapan) menang 82 kerusi, PN ada partinya yang dapat 49 dari 74 kerusi Parlimen.

“(Dalam UMNO) Lawanlah…sebab ini parti punya hal, rakyat pun faham. Kalau kita pergi pemilihan parti di bahagian, mana ada gaduhnya, mereka pergi pangkah saja, yang bergaduh ini kalau kita tipu undi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan merebut jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini, Johari memberi bayangan akan bertanding salah satu dari tiga jawatan tertinggi parti.

“Soal jawatan apa saya nak bertanding, kena tunggu bila pertandingan ini. Bila diumumkan pemilihan, nanti kita buatlah keputusan sama ada bertanding presiden ke, timbalan presiden ke, naib presiden ke, yang penting perkataan presiden itu ada.

“Kita kena semarakkan konsep berdemokrasi dalam parti. Kita kena buat benda ini sebelum kita berdepan dengan PRU 2027,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *