Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kekuatan atau kelemahan sesebuah organisasi terletak kepada institusi kepimpinannya.
Jelas beliau, perkara berkenaan dirujuk dalam ilmu sains politik sebagai ‘centre of gravity theory’ atau Teori Pusat Graviti.
“Menurut teori ini, kekuatan ataupun kelemahan sesebuah organisasi terletak kepada institusi kepimpinannya.
“Sekiranya pusat graviti ini dilemahkan atau dirosakkan, maka sebesar-besar planet pun boleh hancur kerananya. Seluas-luas cakerawala pun boleh huru-hara kerana kemusnahannya.
“Presiden adalah pusat graviti kepada parti. Yang amat berhormat Presiden bukanlah individu tetapi sebuah institusi. Lemah institusi
Presiden, lemahlah organisasi. Hancur institusi Presiden maka musnahlah kekuatan parti.
“Sebab itulah strategi menyerang peribadi pemimpin, membunuh karakter pemimpin dan menghancurkan kredibiliti pemimpin adalah senjata paling ampuh bagi melemahkan dan menundukkan mana-mana organisasi.
“Buktinya jelas di hadapan kita. Daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hinggalah PRU-15, kedua-dua kepimpinan tertinggi parti dibunuh kredibilitinya dan diwajahkan dengan persepsi hodoh akibat pendakwaan politik terpilih dengan begitu dahsyat hingga mengakibatkan UMNO jatuh tersungkur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, UMNO sendiri yang merelakan segala kebobrokan tersebut berlaku dan media sosial milik pemimpin terbabit dibuka untuk kepimpinan sendiri dihina.
“Malah kita khayal dan seronok dengan gegak gempita, sorak sorai penonton tatkala memerli dan merendahkan parti sendiri.
“Lebih menyedihkan apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan Presidennya sendiri.
“Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi,” katanya.
Beliau mendakwa, terdapat calon daripada UMNO semasa PRU menjadi ‘hero’ yang mencerca parti serta menjaja cerita kononnya mengundi ‘beliau’ bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup.
Menurutnya, ini seolah-olah beliau adalah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.
“Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti,” soalnya.
Justeru katanya, bagaimana rakyat akan percaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu memimpin negara dan yakin bahawa gabungan itu boleh membawa kestabilan jika pemimpin atasan dilihat bercakaran?
Beliau turut mempersoalkan bagaimana rakyat akan mengundi BN jika pemimpin sesama sendiri berpecah belah dan saling kata mengata?
“Bak kata peribahasa Inggeris, ‘a house divided against itself cannot stand’. Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah. 2022 kita kalah kerana berpecah,” dakwanya.
Dr. Asyraf menyifatkan apa yang berlaku seperti ulangan kepada sejarah perang Uhud yang pada mulanya dimenangi umat Islam.
“Ini adalah ulangan kepada ‘ibrah Perang Uhud yang asalnya kita menang, tetapi kerana culas mentaati perintah pemimpin, maka pasukan
Islam akhirnya tumbang kali pertama dalam perang melawan Musyrikin.
“Sebab itulah Nabi Muhammad SAW sendiri berkali-kali mengingatkan peri pentingnya mentaati pemimpin tatkala senang mahupun susah,
mempertahankan pemimpin samada yang disukai ataupun yang dibenci,” katanya.
Beliau memetik hadis riwayat Muslim: “Apabila datang kepada kamu seseorang dan ketika itu kamu sedang diuruskan oleh seorang pemimpin, tiba-tiba orang itu mengajak kamu untuk meninggalkan pemimpin dan sekali gus hendak merobek perpaduan antara kamu, maka hapuskanlah orang itu.”
Kata beliau, atas asas tersebut dalam dalam dua ucapan dasar sebelum ini, Pemuda UMNO tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti.
Pemuda UMNO katanya, tidak boleh bersikap hipokrit, melambung pemimpin ketika menang, tetapi memijak lumat pemimpin semasa jatuh kecundang.
“Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti UMNO ini,” katanya.
Leave a Reply