DUA sayap UMNO hari ini mendesak agar ‘pengkhianat’ parti itu disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, individu berkenaan disifatkan sebagai gunting dalam lipatan, yang didakwa hanya mengutamakan diri berbanding parti.
“Pemuda tidak pernah berganjak untuk mempertahankan institusi kepimpinan parti tanpa rasa takut.
“Pemuda tidak boleh bersikap hipokrit melambung pemimpin takkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang.
“Justeru Pemuda mendesak agar saki-baki pengkhianat parti, yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, serta mengutamakan diri daripada parti, agar disingkirkan terus daripada menjadi barah yang merosakakan seluruh organ dan jasad parti.
“Setuju? Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) ada mendengar luahan hati kita,” katanya ketika berucap dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur hari ini.
Selepas gesaan sayap Pemuda, Puteri UMNO turut mendesak agar tindakan segera diambil terhadap ahli yang terbukti cuba memusnahkan parti.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan, parti sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan pengkhianat sama ada ahli biasa atau yang memegang jawatan.
“Berparti pada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadab terhadap parti.
“Pengkhianat parti adalah seperti barah, jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama UMNO.
“Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di peringkat lima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO.
Leave a Reply