DEWAN Pemuda Pas menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu (BM) sebagai versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks Bahasa Kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.
Tambahan pula katanya, teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telahpun wujud dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong semenjak 2003 lagi.
“Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan. Ini soal perlaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua.
“Pelaksanaan ini adalah suatu tindakan yang baik dan wajar disambut oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ini selari dengan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu menjadi teks rasmi selaras Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam ucapan pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 berkata, pihaknya juga bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah yang terkini mengikut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha menjadikan versi Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah.
Katanya, ia juga memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan, serta tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai.
“Justeru itu, Pemuda Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha yang baik ini,” katanya.
Leave a Reply