Sanusi kesal SOP ekstrak REE lewat dikeluarkan

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membidas Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang didakwanya lambat mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekstrak unsur nadir bumi atau rare earth element (REE).

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku ketika permintaan terhadap REE kian melonjak sehingga memungkinkannya dibawa keluar secara haram.

Tambahnya, keadaan itu mendatangkan kerugian kepada kerajaan kerana gagal mendapatkan hasil yang sepatutnya diterima.

“Perkara ini saya bangkitkan sudah lama dan kita sudah bincangkan beberapa kali. Kementerian tersebut menerusi Majlis Tanah Negara (MTN) suruh kita tunggu SOP dikeluarkan tetapi sampai sekarang, kita masih belum terima SOP tersebut.

“Dalam pengamatan saya, bahan-bahan atau mineral REE ini bukan saja telah dikeluarkan di beberapa lokasi di Kedah malah turut dikeluarkan di beberapa lokasi dalam negeri lain secara haram.

“Saya dah cakap tentang perkara ini sejak begitu lama tetapi oleh kerana mereka ini ‘mak ngot’, ralit atau sebenarnya tak tahu bagaimana nak buat SOP sepatutnya supaya negeri-negeri dapat maksimumkan kegiatan perlombongan dan hasil, maka pihak-pihak lain bergerak tanpa SOP tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dari China di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi menambah, berikutan kelewatan itu, jabatan-jabatan terlibat di Kedah khususnya Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa sentiasa membuat penilaian serta mengenal pasti langkah mahu pun pendekatan untuk memastikan industri tersebut mampu mendatangkan hasil kepada kerajaan.

“Kalau kementerian terus ‘mak ngot’, berjalan perlahan macam kura-kura sedangkan orang lain dah berlari, maka mereka akan ketinggalan dan itu sesuatu yang tak dapat dielak.

“Janganlah sampai REE habis diekstrak, baru nak keluarkan SOP dan kalau itu berlaku, rugilah semua orang. Janganlah kerana kita ada kuasa di kementerian, maka kita nak menahan orang lain daripada menjalankan kegiatan ini hingga mengakibatkan kerugian akibat berlakunya perlombongan tidak bersandarkan undang-undang dan pengambilan secara tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan, semua unsur nadi bumi atau rare earth element (REE) yang dirampas pihak berkuasa setelah dibawa keluar secara haram oleh pihak tertentu dari bumi Kedah sebelum ini, akan dijual kepada pihak yang berminat mendapatkannya.

Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan membuka tender untuk proses pelupusan bahan rampasan tersebut dengan mereka yang berminat membelinya boleh melihat sendiri ‘barangan’ berkenaan bermula hari ini.

“Sebelum ini ada pihak buat ‘tour’ kononnya kita telah menyembunyikan REE dan mereka meletakkan harga konon bahan itu berharga antara RM7,000 hingga RM8,000 satu gram.

“Kalau ikut penilaian mereka, kononnya boleh untung RM4 bilion. Maka saya cadangkan mereka masuk proses bidaan dibuat PTG kerana rizab untuk berpuluh tan REE itu saya difahamkan bernilai kira-kira RM2.6 juta saja.

“Disebabkan mereka pandai sangat ceramah, eloklah mereka beli untuk jual semula dan tengoklah dapat banyak mana,” katanya sinis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *