Zahid Komedi

PN sedia beri kerjasama isu RM92.5b, tiada apa mahu disembunyikan

TIADA apa-apa yang mahu disembunyikan Perikatan Nasional (PN) berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM92.5 bilion tanpa tender ketika era pentadbiran negara di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin PN sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa dalam siasatan berhubung dakwaan tersebut kerana menghormati tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyifatkan dakwaan tersebut adalah bermotif politik dan merupakan usaha musuh PN untuk membunuh karekter gabungan parti itu serta pemimpin-pemimpin PN.

“Saya rasa ini adalah satu perkara yang dilakukan atas niat politik dan kita kena faham di Malaysia sekarang ini satu-satunya gabungan yang menjadi pencabar kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kerajaan yang ada sekarang ialah PN.

“Ini kerana PN mempunyai pemimpin yang berkebolehan menjadi Perdana Menteri (dalam meneraju negara).

“Jadi, bagi saya usaha-usaha yang dilakukan seperti pembunuhan karakter Muhyiddin dan karakter PN ini akan berterusan di mana dalam sepanjang tahun ini (terdapat) usaha untuk memburukkan dan membuat rakyat ragu-ragu dengan integriti dan kredibiliti pemimpin PN akan kelihatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut tidak terkejut sekiranya ada lagi pemimpin-pemimpin PN akan dipanggil untuk memberi keterangan sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai agenda politik semata-mata.

“Tidak mengapalah. Kita bagi keterangan kalau dipanggil kerana hendak bagi laluan kepada pegawai penyiasat menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful turut menjangkakan usaha-usaha ‘penyucian’ imej kepada beberapa pemimpin ‘kluster mahkamah’ juga akan terus berlaku.

Disebabkan itu jelasnya, rakyat kini memerhati dengan teliti kesudahan kes-kes mahkamah berprofil tinggi antaranya melibatkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta kes disifafkan paling besar membabitkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebab itu saya menghargai kenyataan yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara baru-baru ini yang mengatakan ada usaha menekan institusi kehakiman, tapi institusi kehakiman kita berdiri teguh dengan integriti mereka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *