SEKUMPULAN lelaki warga asing yang menceroboh Menara Merdeka 118, yang sedang dalam pembinaan sehingga tular baru-baru ini sudah ditahan polis pada Mei tahun lalu.
PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) dalam satu kenyataan berkata, rakaman video menunjukkan insiden pencerobohan yang mula tular di media sosial baru-baru ini itu, sebenarnya dibuat pada 1 Mei tahun lalu.
“Kami ingin memaklumkan bahawa insiden ini berlaku pada 1 Mei 2022 dan penceroboh-penceroboh tersebut telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mereka sudah pun didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari yang sama,” katanya, hari ini.
PNBMV berkata, susulan beberapa insiden pencerobohan yang berlaku di menara itu, pihak syarikat akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan di menara terbabit.
“Aksi yang dipaparkan kumpulan lelaki itu jelas menyalahi undang-undang dan berbahaya, sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan juga pekerja di tapak pembangunan.
“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram.
“Kami ingin menekankan bahawa tapak Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan kami,” katanya, lapor Berita Harian.
Tambah kenyataan itu, menceroboh adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya.
BH hari ini melaporkan, Menara 118 yang masih dalam pembinaan itu diceroboh kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, yang berkongsi video ‘pencerobohan’ mereka pada 30 Disember lalu.
Video selama 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan terbabit, terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.
Bulan lalu, pasangan Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, menceroboh dan menawan puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.
Nikolau dalam perkongsian di Twitter, mendakwa menyamar sebagai pekerja binaan yang bertudung ketika menyelinap masuk bangunan itu, sebelum memanjat selepas pekerja pulang.
Leave a Reply