Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

PEMANDU bas maut manakala lapan penumpang cedera selepas terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Kulai, malam tadi.

Mangsa, Ismail Tapah, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu bas, kereta dan lori.

Katanya, dalam kemalangan terbabit, selain warga emas yang maut, lapan penumpang bas cedera ringan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang bergerak terus menghala ke arah utara terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi pembahagi jalan.

“Kemudian, bas dipandu mangsa yang datang dari arah sama menghala ke utara, tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan dari belakang.

“Akibat pelanggaran itu, bas terbabas ke longkang di kiri jalan sebelum kereta pula terlanggar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

Beng Yeow berkata, pemandu lori dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kenderaan yang terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali, berkata 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dan meninggal dunia dari bas berkenaan.

“Mereka yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada pukul 12.42 tengah malam,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *