SEORANG perompak mati ditembak pelanggan dalam satu kejadian rompakan di sebuah restoran dekat Ranchito Taqueria, Houston, Texas.
Kejadian dilapor berlaku pukul 11.30 malam waktu tempat Khamis lalu.
Memetik laporan River City Post, suspek yang bertopeng muka dan bersenjata pistol itu menceroboh masuk ke dalam sebuah restoran lalu meminta wang daripada pelanggan.
Bagaimanapun, sewaktu suspek dalam perjalanan keluar daripada restoran, salah seorang pelanggan bertindak melepaskan lapan das tembakan ke arah suspek.
Menurut Pegawai Polis Houston, Leftenan Wilkens, siasatan mendapati perompak tersebut menggunakan pistol mainan plastik.
“Polis masih menyiasat kejadian dan penembak terbabit belum ditahan lagi buat masa kini,” katanya.
Jelasnya, penembak terbabit juga bertindak mengambil wang hasil rompakan sebelum memulangkan kembali kepada pelanggan lain yang terlibat.
Malah, polis Houston kini mengesan penembak tersebut dengan mendedahkan gambar penembak serta pacuan empat roda model tahun 1970-an yang dinaiki bagi membantu siasatan.
Tambah Wilkens, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kesemua pelanggan, saksi dan penembak bertindak meninggalkan restoran sejurus kejadian tersebut.
Mereka juga dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan.
Leave a Reply