Kanak-kanak perempuan dipercayai mangsa dera ibu diselamatkan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Bukit Gambir, Georgetown berjaya diselamatkan selepas lebih setahun menahan derita dipercayai akibat didera ibunya sendiri.

Kanak-kanak malang yang tinggal di sebuah rumah flat itu diselamatkan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Menurut Kumaresan, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berhubung kejadian menimpa kanak-kanak itu daripada jiran berdekatan.

Katanya, dia kemudian membuat laporan kepada JKM sebelum ke rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang.

“Sebaik saya dan pegawai JKM tiba, didapati mangsa ditinggalkan bersama dua abangnya berusia 14 dan 12 tahun manakala ibunya pula keluar bekerja sementara bapa mereka yang bekerja sebagai pemandu lori hanya pulang sekali sekala.

“Ketika ditanya, kanak-kanak terbabit mengaku sering dipukul ibu sekiranya tidak melakukan kerja rumah selain kerap meminta pertolongan daripada jiran, ” katanya, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut Kumaresan berkata, difahamkan menurut jiran, mangsa terdahulu tinggal bersama ibu saudara sebelum diambil semula ibu kandung sejak lebih setahun lalu.

Katanya, sejak itu jiran mereka sering mendengar mangsa menangis dan melihat dipukul oleh ibunya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Jiran juga pernah menegur ibu mangsa mengenai perbuatan itu namun wanita itu bertindak memarahi semula jiran berkenaan.

“Difahamkan mangsa juga pernah melarikan diri dari rumah sebelum ditemukan oleh orang ramai dan dihantar ke balai polis berhampiran.

“Kanak-kanak itu kemudian diserah kepada ibu saudaranya yang tinggal di flat yang sama sebelum ibu kandung mengambilnya semula,” katanya lagi.

Menurut Kumaresan, kedua-dua abangnya juga mengaku turut memukul kanak-kanak itu kerana tidak membuat kerja rumah malah mangsa turut ditinggal sendirian sekiranya tidak dihantar ke sekolah.

Katanya, kanak-kanak terbabit pada masa ini diserah kepada JKM mengikut prosedur pihak berkenaan.

“Difahamkan pada masa ini mangsa dibawa ke rumah perlindungan sementara menanti siasatan JKM dan laporan polis juga akan dibuat pihak berkenaan.

“Saya turut meminta pihak JKM membawa kanak-kanak terbabit bagi dilakukan pemeriksaan kesihatan kerana mangsa mendakwa sakit di bahagian kepala dan mengalami bengkak selain terdapat kesan lebam di badannya.

“Mangsa adalah murid pintar dan mendapat 5A 3B dalam peperiksaan di sekolah justeru, diharap masyarakat prihatin dapat melapor segera jika ada berlaku kejadian serupa dalam kawasan kejiranan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *