LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang enggan menyokong langkah UMNO negeri itu menarik sokongan kepada kerajaan negeri, sedia dikenakan tindakan termasuk dipecat daripada parti itu.
ADUN terbabit ialah Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Semalam, Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, mereka sudah menghantar akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya tidak akan menarik balik SD dan sokongan yang diberi kepada Hajiji walaupun ada desakan daripada UMNO kerana kekal dengan pendirian tidak bersetuju menukar kerajaan negeri pada masa ini.
“Sokongan saya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak berubah sebab tiada alasan untuk kita mengubah kerajaan negeri yang ada sekarang,” katanya memetik laporan Berita Harian.
“Saya juga tidak mengubah pendirian terhadap parti dan saya masih ahli UMNO dan kalau ada tindakan terhadap saya, saya serahkan kepada parti,” katanya ditemui pada perjumpaan 44 ADUN yang menyokong Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, Kota Kinabalu.
Sebelum ini, Jasnih yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, turut menyatakan kesediaan dipecat daripada parti berikutan keputusannya kekal menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Beliau mengakui ada diminta menandatangani SD untuk mengubah kerajaan sekarang kepada kerajaan gabungan BN dan Parti Warisan (Warisan) dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Menteri.
“Saya mengambil keputusan tidak menyokong perubahan kerajaan kerana beberapa faktor yang diambil kira dari sudut profesional dan peribadi.
“Saya akan terus menyokong kerajaan di bawah kepemimpinan Hajiji selagi saya bergelar ADUN Pantai Dalit.
“Saya faham risiko tindakan saya ini dan bersedia serta terbuka untuk menerima hukuman atau dipecat daripada UMNO,” katanya.
Menerusi kenyataan bersama kelima-lima ADUN terbabit sebelum ini, mereka menekankan mahu kestabilan politik di Sabah dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.
Sebelum ini, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, dilaporkan berkata, lima ADUN terbabit bakal dikenakan tindakan disiplin jika tidak mematuhi keputusan parti yang dipersetujui sebulat suara.
Jumaat lalu, Bung Moktar mengumumkan keputusan BN dan UMNO Sabah menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri yang ditubuhkan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.
Tindakan itu, katanya, selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri yang didakwa melanggar perjanjian dengan BN sebelum ini, termasuk memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Bhd (QSB).
Leave a Reply