PH Bersatu PAS PKR MoU

PH masih pembangkang di Johor – Salahuddin

NAIB Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH masih lagi berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan belum ada lagi perbincangan berhubung pembentukan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri itu, setakat ini.

Menurutnya yang juga Pengerusi PH Johor, keputusan sama ada kerajaan Johor akan mewujudkan kerajaan perpaduan di Johor selaras dengan apa yang berlaku di peringkat Persekutuan masih belum dibuat.

Bagaimanapun Salahuddin berkata, semangat perpaduan dan kerjasama antara PH dan BN negeri itu sudah mula terjalin membabitkan isu masyarakat setempat.

“Setakat ini, kita masih belum buat apa-apa keputusan lagi di Johor. Namun semua (PH dan BN Johor) kami faham bahawa semangat perpaduan kerajaan Persekutuan itu sangat mendasari hingga ke negeri ini.

“Setakat ini saya yakin dan percaya hubungan wakil rakyat Persekutuan dan kerajaan negeri. Saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram setakat ini dapat rasakan kerjasama sangat baik dengan agensi negeri.

“Contohnya isu rakyat membabitkan kemusahan awam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, banjir kilat di Kampung Pasir dan Jalan Kolam Air, pegawai negeri berikan kerjasama begitu baik.

“Setakat ni hubungan ini kita rasakan sangat baik cuma secara rasminya, kita tak dapat menentukan apakah bentuk kerjasama di masa akan datang. Namun setakat saya meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari terakhir sidang pada November lalu,PH Johor masih duduk lagi di barisan pembangkang,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran Parti Amanah Negara (AMANAH) Parlimen Pulai, di sini, malam tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Manakala PH pula memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), manakala PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BN Johor menang sembilan kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan sekali gus gagal mencapai sasaran untuk menang sekurang-kurangnya 20 kerusi.

PH pula menang 15 kerusi Parlimen di Johor termasuk Parlimen Muar yang dimenangi Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perikatan Nasional (PN) juga meraih dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Mersing dan Pagoh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *