KPN minta mangsa ustazah kontroversi buat laporan polis

KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani meminta individu yang menjadi mangsa penipuan ustazah kontroversi yang memperalatkan perubatan sunah agar tampil membuat laporan polis.

Menurut beliau, mana-mana individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan ustazah terbabit dinasihatkan tampil membuat laporan polis.

Katanya, jika ada laporan polis yang dibuat, polis akan meneliti dan menjalankan siasatan.

“Jadi saya minta mereka yang menjadi mangsa penipuan itu dan mengalami kerugian diminta membuat laporan polis.

“Siasatan secara telus akan dijalankan berkaitan laporan polis yang diterima,”katanya hari ini, lapor Harian Metro.

Harian Metro hari ini melaporkan Khidmat Guam sedang mengumpul dan meneliti bukti berkaitan seorang ustazah yang didakwa memanipulasi perubatan sunah untuk kepentingan diri.

Pengarah Advokasinya Mahmud Jumaat berkata, berdasarkan pertemuan dengan pengadu sebelum ini, pihaknya mendapati wujud unsur penipuan dilakukan wanita yang sering mengundang kontroversi itu termasuk ugutan dan transaksi wang dalam jumlah yang besar.

Hanya dengan melihat gambar lidah dan tubuh ketika sesi rawatan mampu mengenal pasti tahap penyakit seseorang sama ada kronik atau sebaliknya, selain kononnya boleh berubat secara jarak jauh dengan hanya mengikut arahan.

Itu doktrin pelik yang dilakukan seorang ustazah apabila mendakwa mampu merawat penyakit pengikutnya secara sunah tanpa perlu pergi ke hospital serta menerima rawatan perubatan moden yang dianggapnya beracun dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Malah, dengan hanya menyentuh dan memeriksa tubuh pengikutnya, ustazah terbabit mendakwa mampu mengenal pasti penyakit dihadapi mereka sebelum mempromosikan ubat sunnah dengan jualan harga tidak masuk akal.

Bagaimanapun, dek kerana taasub menyebabkan ada pengikut sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli ubat-ubatan didakwa mengikut sunnah berkenaan.

Difahamkan, pengikut wanita terbabit yang menyertai kumpulan aplikasi Telegram bagi mempromosi perubatan sunnah kini mencecah 3,000 orang dan ada dalam kalangan mereka bergelar doktor, guru dan sebagainya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *