Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata dalam politik, pemasaan sangat penting untuk membuat sebarang keputusan mengenai parti.

“Dalam politik, yang penting adalah pemasaan… sesuatu perkara yang hendak dilakukan perlu dipertimbang… apabila sampai masanya, keputusan akan dibuat, jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata fokus ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar kerana rakyat mahu melihat Kerajaan Perpaduan berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.

“Kalau pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat, masih ada tempoh 60 hari baru ada pilihan raya. Masing-masing ada pengalaman yang cukup, jadi saya tidak bimbang soal lambat untuk berunding, tidak timbul masalah itu,” katanya.

Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan politik itu belum memulakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *