Bina replika isteri abadikan kenangan 39 tahun bersama

SEORANG pesara kerajaan di India mempunyai cara tersendiri dalam mengabadikan kenangan bersama mendiang isterinya yang meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu.

Untuk itu, Tapas Sandilya telah ‘menghidupkan’ semula isterinya, Indrani yang meninggal dunia kerana COVID-19 pada Mei 2021 dengan membina replika mendiang hasil kreativiti seorang pengukir.

Ironinya, replika tersebut diperbuat dari tanah liat sebagai asas bersama 30 kilogram silikon, lengkap berbusana sari dan memakai aksesori.

‘Dia’ duduk bersilang tangan di atas buaian, yang merupakan tempat kegemarannya di dalam rumah mereka.

Jelas Sandilya, replika yang bernilai lebih RM13,000 (2,500 pound sterling) itu dibina bukan hanya sebagai memori pernah hidup bersama selama 39 tahun, tetapi juga demi menunaikan hasrat wanita tersebut.

“Kami pernah pergi menziarah sebuah kuil di Mayapur lebih sedekad lalu dan tidak berhenti kagum dengan replika AC Bhaktivedanta Swami. Indrani sendiri yang mahu memiliki replikanya jika dia meninggal dunia,” kata Sandilya seperti dilaporkan The Times of India.

Indrani meninggal dunia pada usia 59 tahun di hospital seorang diri sewaktu India dilanda pandemik kedua.

Pada waktu itu, Sandilya mendakwa dirinya dipaksa untuk melakukan pengasingan sehingga tidak dapat melihat isterinya buat kali terakhir.

Untuk rekod, sebanyak 44 juta penduduk India telah mati akibat jangkitan COVID-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *