Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN
HANYA orang yang hilang akal sahaja boleh mengatakan bahawa judi dan loteri boleh mengekalkan keharmonian kaum dan mengelakkan masalah sosial.
Oleh sebab itu apabila Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor meminta Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong mengemukakan bukti bagi menunjukkan tabiat itu berfaedah, puak-puak yang menyokong judi diam seribu bahasa.
Teh sebelum ini berkata, DAP masih berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di Kedah.
Katanya, langkah itu wajar dipertimbang semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.
Menurutnya, tindakan tidak membenarkan premis judi dibuka dilihat akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia secara tidak langsung menggalakkan aktiviti perjudian haram.
Sungguh pelik bukan? Bahkan jika kita tanya kepada sesiapa pun, adalah mustahil untuk disenaraikan kebaikan-kebaikan yang dapat diperolehi daripada tabiat berjudi melainkan keruntuhan institusi keluarga, kehilangan harta benda dan pelbagai jenayah lain.
Judi, tidak kiralah sama ada berlesen atau tidak adalah tabiat yang merosakkan banyak aspek malah tiada mana-mana agama yang bersetuju dengan perbuatan itu kerana kesan daripada tabiat itu yang secara jelas dan nyata telah merosakkan hidup bermula daripada diri kaki judi itu sendiri hinggalah kepada orang sekeliling.
Oleh itu, adalah amat menghairankan bagaimana pemimpin DAP boleh membantah keputusan kerajaan Kedah untuk menutup pusat judi dan loteri di negeri itu.
Tidakkah pelik apabila sesuatu perbuatan yang negatif mendapat sokongan daripada sebuah parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) yang kini sedang menjadi gabungan tunjang dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Ia juga dilihat tidak selari dengan pendekatan kerajaan pusat sebelum ini yang kononnya mahu menunjukkan mereka tidak ‘mesra’ judi dengan mengurangkan cabutan judi daripada 22 kali kepada lapan.
Keputusan DAP Kedah itu juga nampaknya ‘tidak kena’ dengan apa yang telah diperkatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang sebelum ini memuji Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang katanya tegas dalam menentang isu judi.
Sepatutnya PKR yang menjadi rakan komponen PH ataupun Anthony sendiri dapat menasihati DAP Kedah dalam isu judi itu supaya tidak menampakkan kecelaruan dalam pendirian mereka berhubung isu judi.
Bukan itu sahaja, UMNO yang kini sudah lunak dengan DAP apabila sudah bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan DAP Kedah itu bagi menunjukkan di mana UMNO berada.
Penulis perhatikan, sejak isu penutupan judi di Kedah menjadi topik hangat, tiada apa-apa komen daripada pemimpin UMNO berhubung isu itu.
Seperti mana orang lain, penulis juga ingin tahu pendirian UMNO adakah mereka juga sebenarnya sudah bersetuju dengan kenyataan DAP Kedah ataupun bersama dengan umat Islam lain yang menentang judi.
Pada masa sama, penulis puji langkah Perlis yang turut sama mempertimbangkan keputusan untuk mengikuti langkah Kedah dalam menutup pusat judi dan loteri di negeri itu.
Walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan ia adalah langkah yang akan menyebabkan kaki judi beralih ke judi online, ia sebenarnya satu permulaan yang positif untuk membentuk masyarakat sihat tanpa judi.
Dalam usaha untuk mengekang judi online pula, usaha itu sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan ketika ini yang mempunyai kuasa dari segi penguatkuasaan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta PDRM.
Kesimpulannya, jika kita serius dalam membanteras judi, usaha berani seperti yang dilakukan seperti negeri Kedah seharusnya disokong oleh semua pihak melangkui kepentingan politik kerana kesan negatif judi adalah lebih besar impaknya kepada masyarakat.
Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi
Leave a Reply