Sudah nasihatkan Bung Moktar jangan huru-harakan politik Sabah

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob telah menasihatkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin supaya tidak ‘mengganggu’ kerajaan Sabah sebelum ini.

Yusof bagaimanapun berkata, cubaan merampas kuasa daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tetap dilakukan dan menyebabkan berlakunya pergolakan politik di negeri ini.

“Saya salah seorang yang tidak bersetuju menentang selain Datuk Ir. Shahelmey Yahya (ADUN Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya, (ADUN Pantai Dalit), Datuk James Ratip (ADUN Sugut) dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (ADUN Tempasuk).

“Saya sudah beri nasihat kepada Bung pada 1 Januari lalu selepas balik daripada bercuti, saya katakan kepada beliau supaya jangan lakukan, berhati-hati dengan gerakan ini. Kita tidak cukup (sokongan), tetapi dia teruskan juga,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Katanya, beliau terus menasihatkan Bung pada 5 dan 6 Januari untuk tidak berbuat demikuian dan mengikut arahan Perdana Menteri supaya tidak menghuru-harakan politik di negeri itu tetapi tetap diteruskan.

Jelasnya lagi, jika dikira daripada segi jumlah sokongan, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih belum mempunyai sokongan yang kukuh untuk membentuk kerajaan.

“Shafie pun tahu dia tidak cukup, kira matematik betul-betul. Warisan 19 ADUN dan BN ada 18 ADUN baru 37, campur parti lain tiga, baru 40, lebih satu kerusi tetap tidak stabil, jika satu lari, memang selesai (tumbang).

“Jadi sebab itu kita tidak menyokong kerana ini akan menyusahkan rakyat dan saya tahu dari awal tidak cukup (sokongan). Ini juga tidak sejajar dengan kehendak semangat kita sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan disiplin yang mungkin akan diambil terhadapnya, Yusof berkata, sepatutnya tindakan disiplin dikenakan kepada Bung Moktar sendiri.

“Apa lagi tindakan yang mahu diambil, paling pun pecat daripada parti saja. Terpulanglah, kerana ia mesti ada prosesnya.

“Tindakan Bung sekarang ini mahu rampas kuasa ini dipersetujui UMNO pusat atau tidak, ini kepentingan peribadi dia. Yang sepatutnya dipecat kalau melanggar arahan pusat. Bung lah yang sepatutnya dipecat, bukan kami.

“Jadi saya nyatakan lagi, adakah tindakan ini mendapat kelulusan daripada majlis tertinggi, adakah kelulusan daripada Presiden dan tidak akur dengan arahan jangan berpolitik.

“Kami sebenarnya mempertahankan imej UMNO, kita sebenarnya bukan mahu berpilihan raya, berpolitik. Yang kita mahu harga barang turun, ekonomi bagus, keadaan stabil, peluang pekerjaan dan pelaburan masuk, ini harapan rakyat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *