PH Sabah tidak setuju DUN dibubarkan

PAKATAN Harapan (PH) Sabah tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan sekiranya kemelut politik di negeri ini berterusan.

Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Sabah dalam satu kenyataan bersama, mengulangi pendirian mereka untuk tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan kerajaan melalui cara ‘pintu belakang’.

“Kami berasa amat kesal melihat Sabah sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik yang sepatutnya tidak berlaku.

“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara ‘pintu belakang’.

“Pada masa yang sama, kami tidak bersetuju untuk DUN dibubarkan sekiranya kemelut ini terus berterusan dan kedudukan DUN buat masa ini terus tergantung (kerajaan negeri tergantung),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, tujuh ADUN PH Sabah memberi sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga ADUN Sulaman.

“Ini adalah selari dengan prinsip kami untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti ‘Langkah Sheraton’.

“Susulan sokongan ini, kami bersetuju bahawa satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat Persekutuan,” kata kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

Tambah kenyataan itu, seharusnya fokus utama ketika ini adalah memastikan matlamat perjuangan membantu rakyat dan membangun ekonomi serta bersama-sama berusaha untuk memastikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh ADUN Api-api, Datuk Christina Liew; ADUN Tanjung Papat, Datuk Poon Fung Ming; ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUN Luyang Phoong Jin Zhe; ADUN Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN Inanam, Peto Galim.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *