Bung Moktar beri bayangan kemelut politik Sabah akan selesai

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi bayangan kemelut politik dan pentadbiran di Sabah dijangka selesai dalam masa terdekat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Bung Moktar yang berkongsi empat gambar pertemuan itu dalam Facebook miliknya, memberikan isyarat bahawa situasi semasa yang melanda pentadbiran di Sabah akan ada pengakhirannya.

Berdasarkan catatan di media sosial itu, Bung Moktar memaklumkan bahawa pertemuan terbabit diadakan bagi memberi penjelasan berkenaan isu pergolakan politik di Sabah.

“Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya…perjuangan baharu bermula dan perjalanan masih jauh dan panjang,” katanya menerusi entri terbaharu tersebut.

Selain bertemu Presiden UMNO, beberapa pemimpin lain parti itu turut berada pada pertemuan dengan Bung Moktar yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

Antara yang dilihat dalam gambar itu ialah Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Kemelut politik di Sabah bermula apabila terdapat cubaan menggulingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melalui ‘Langkah Kinabalu’.

‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Ketika ini kerajaan Sabah ditunjangi Gerakan Rakyat Sabah (GRS) bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, selain turut disokong Pakatan Harapan Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.

UMNO dan BN Sabah sebelum ini menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Ini berikutan pengumuman dibuat Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar malam ini berhubung keputusan pihaknya untuk menarik diri daripada kerjasama itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *