Budak sembur cat tin pada kereta dicari polis

POLIS Pulau Pinang sedang mengesan seorang kanak-kanak yang disyaki melakukan perbuatan vandalisme dengan menyembur cat tin pada beberapa buah kereta di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan tidak senonoh.

“Pada 6 Januari (semalam) terkesan satu posting yang dimuat naik dalam akaun Facebook ‘inforoadblock’ berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang dipercayai melakukan perbuatan vandalism dengan menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan tidak senonoh.

“Kejadian tersebut berlaku di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas pada 6 Januari (semalam) dan terdapat lima laporan polis berhubung isu sama,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebook hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa buah kereta yang disembur cat berwarna hitam dengan perkataan tidak senonoh.

Seorang kanak-kanak disyaki melakukan perbuatan vandalisme dengan menyembur cat tin pada beberapa buah kereta di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, semalam

Kamarul Rizal berkata, siasatan awal polis mendapati perbuatan itu disyaki dilakukan seorang suspek kanak-kanak antara pukul 2 hingga 2.30 petang.

“Menurut salah seorang pemilik kenderaan, ini merupakan kejadian pertama sepanjang tempoh tiga tahun dia tinggal di situ.

“‘Pemilik kenderaan menyedari kejadian ini apabila ingin kembali ke rumah setelah pulang dari kerja di kilang berdekatan pada pukul 5 petang dan dia terus membuat laporan polis berhubung kes ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan, sekiranya orang awam mempunyai maklumat mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Wan Muhammad Syamim Wan Azmi di talian 04-8662222,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *