‘Langkah Kinabalu’: Kabinet Sabah dirombak, Bung dijangka jadi ‘korban’

KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dijangka merombak Jemaah Menterinya selepas cubaan menggulingkan pentadbiran GRS semalam gagal menjadi kenyataan.

Timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang dikaitkan dengan cubaan itu yang digelar ‘Langkah Kinabalu’ dijangka menjadi korban dalam rombakan berkenaan.

Free Malaysia Today memetik sumber yang dekat dengan Hajiji berkata, ada kemungkinan ketua UMNO Sabah itu digugurkan, bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Jafry Ariffin.

Namun katanya, tidak semua pemimpin BN Sabah akan digugurkan.

“Hal ini dibincangkan semalam. Bukan bercerai dengan BN Sabah. Hajiji hanya mahu pastikan kerajaan terus berfungsi,” kata sumber itu.

Sumber itu juga memberitahu bahawa, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu akan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan Sabah ke dalam Jemaah Menteri.

Terdahulu, dilaporkan tujuh ADUN UMNO Sabah termasuk timbalan Bung, Yakub Khan, bertemu Hajiji semalam.

“Selain tujuh orang itu, sekurang-kurangnya tiga ADUN Warisan pun ada bertemu Hajiji,” kata sumber itu, yang enggan berkongsi butiran perbincangan itu.

Adalah difahamkan bahawa Hajiji akan bertemu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, hari ini. STAR mempunyai enam wakil rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata partinya membuat keputusan untuk tunggu dan lihat.

Himpunan para ADUN UMNO Sabah di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu semalam mencetuskan khabar angin tentang suatu kerjasama dengan Warisan untuk menyingkir Hajiji.

Presiden Warisan, Shafie Apdal, membatalkan sidang media pada 4.30 petang selepas dua jam tertangguh.

Terdahulu, ADUN GRS dan Pakatan Harapan mengikrar sokongan kepada Hajiji.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *