KERETA lembu yang ditunggang tiga lelaki di Jalan Serdang Perdana sehingga tular di media sosial sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, anggota kaunter aduan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat berkaitan satu video yang sedang tular di media sosial Facebook pada pukul 7 malam tadi.
Video yang disiarkan itu katanya membabitkan sebuah kereta lembu yang ditunggang oleh tiga lelaki di Jalan Besar, Seri Kembangan.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati ia dirakam pada pukul 10 pagi Isnin lalu dan tular di media sosial.
“Menurut pemilik kereta lembu terbabit, ia ditunggangi oleh tiga lelaki yang sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan Hindu,” katanya.
Anbalagan berkata, perarakan itu dijangka bermula bermula Februari sempena Thaipusam.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Di samping itu, tuan punya kereta lembu terbabit juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan pada hari ini untuk menceritakan kejadian itu.
“Pihak polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan sebarang binatang di jalan awam mematuhi undang-undang supaya tidak membahayakan pengguna lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi lapor Berita Harian.
Leave a Reply