JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung video ceramah tular daripada seorang pegawainya yang dipercayai menimbulkan reaksi tidak senang orang ramai.
Jakim menerusi kenyataan berkata, kakitangan berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, Jakim juga sudah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
“Pihak pengurusan tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai itu yang dilihat mengundang kemarahan netizen,” katanya, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok memaparkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan yang juga seorang penceramah mengutuk Kerajaan Perpaduan.
Ceramah berkenaan juga dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu yang mengandungi perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ yang dijadikan bahan politik sebuah parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Tindakan berkenaan mengundang ketidakpuasan hati netizen yang mengecam tindakan penceramah menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan mengutuk kerajaan.
Leave a Reply