Elon Musk Twitter

200 juta alamat e-mel pengguna Twitter bocor dicuri penggodam

ALAMAT e-mel lebih 200 juta pengguna Twitter dipercayai dicuri penggodam yang kemudiannya menyiarkan maklumat itu di forum dalam talian.

Menurut seorang penyelidik keselamatan, Alon Gal, pelanggaran itu malangnya akan membawa kepada lebih banyak penggodaman, pancingan data yang bersasar dan doxxing atau mendedahkan data orang lain dalam talian.

Beliau yang juga pengasas bersama firma pemantauan keselamatan siber Israel, Hudson Rock, berkata tindakan itu adalah salah satu kebocoran paling ketara yang pernah dilihat.

Agensi berita Reuters melaporkan, Twitter bagaimanapun tidak mengulas mengenai laporan itu, yang pertama kali disiarkan Gal di media sosial pada 24 Disember lalu selain tidak menjawab pertanyaan mengenai pelanggaran berkenaan sejak tarikh itu.

Tidak jelas apakah tindakan yang diambil Twitter untuk menyiasat atau membetulkan isu berkenaan.

Tangkapan layar forum penggodam, di mana data berkenaan muncul Rabu lalu, kini diedarkan secara meluas dalam talian.

Tiada petunjuk mengenai identiti atau lokasi penggodam di sebalik pelanggaran berkenaan.

Ia mungkin berlaku seawal 2021, iaitu sebelum Elon Musk mengambil alih syarikat itu tahun lalu.

Dakwaan megenai saiz dan skop pelanggaran berbeza-beza, di mana pada bulan Disember dinyatakan bahawa 400 juta alamat e-mel dan nombor telefon dicuri.

Pelanggaran besar di Twitter mungkin menarik minat pengawal selia di kedua-dua belah Atlantik.

Suruhanjaya Perlindungan Data di Ireland, di mana Twitter mempunyai ibu pejabat di Eropah dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) memantau syarikat milik Elon Musk itu bagi mematuhi peraturan perlindungan data Eropah serta perintah persetujuan AS.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *