Zahid beri bayangan sedia dicabar jawatan Presiden pada PAU 2022

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Menurutnya yang juga Timbalan Perdana Menteri, dalam pemilihan sebelum ini pada 2018, beliau juga dicabar dua ahli parti tapi keputusannya masih memihak kepada beliau yang kemudiannya menyaksikannya memegang jawatan nombor satu parti itu.

Bahkan, beliau berkata kombinasi undi dua pencabarnya itu masih kurang berbanding undi diperolehinya dan jelasnya, kenyataan itu adalah fakta, bukan untuk bersikap sombong, riak, takbur atau ujub.

“Dulu pun saya dicabar juga, dua orang cabar saya dan undi mereka masih belum sama dengan undi yang saya peroleh. Bukan riak, bukan sombong dan takabur mahupun ujub tapi itu terbukti pada 2018.

“Malah kombinasi undi kedua-duanya sangat kurang berbanding undi saya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.

Pada pemilihan tahun 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden mengalahkan dua pencabarnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.

“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak kepada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada mahu kepimpinan yang sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan UMNO terus relevan dalam pentas politik negara.

“Kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

Pemilihan UMNO dijangka diadakan pada tahun ini dan dengan desakan supayan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap dipertandingkan, ia pastinya akan menghadirkan pelbagai cerita sebelum dan selepas pemilihan parti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *