PINTU sentiasa terbuka buat Perikatan Nasional (PN) menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada masa depan.
Perkara itu diakui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti dilaporkan BH Online di sebalik timbul desas-desus berhubung ‘Langkah London’ yang dikatakan direncana beberapa ahli politik.
Bagaimanapun, Hamzah enggan merujuk cadangan kerjasama tersebut sebagai Muafakat Nasional (MN).
Beliau menegaskan, pintu kerjasama itu hanya boleh ‘dibuka’ sekiranya semua pemimpin bersetuju dengan matlamat yang sama.
Ketika ditanya kemungkinan PN boleh kembali menjadi kerajaan menerusi kerjasama baharu, Hamzah hanya menjawab: “Pintu sentiasa terbuka.”
“Kerjasama ini perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, BERSATU, PAS dan UMNO. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini.
“Jika ada satu pihak kata ‘tidak’, maka ia tak akan berlaku. Namun jika kita percaya antara satu sama lain, kita boleh mencapai matlamat kita,” katanya memaklumkan asas kerjasama itu kekal untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ditanya mengenai masa depan UMNO yang pernah dianggotainya sebelum keluar parti itu pada Disember 2018, Hamzah yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilihat keberatan untuk mengulas mengenainya.
Selepas diasak dengan soalan serupa, beliau memaklumkan, UMNO memerlukan pembaharuan besar-besaran atau berisiko ditolak sepenuhnya oleh rakyat.
“UMNO perlukan kerjasama baharu untuk parti itu membuat pembaharuan,” katanya.
Mengenai pilihan raya negeri (PRN) yang perlu dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu meluahkan keyakinan PN mampu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
Jelas beliau, peluang gabungan itu untuk merampas Negeri Sembilan pula dilihat seimbang.
Pada masa sama, Hamzah turut menjangkakan PN akan terus dapat menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Namun begitu, beliau merasakan peluang sukar untuk gabungan itu merampas Pulau Pinang dengan kekuatan DAP di negeri berkenaan.
Leave a Reply