Oleh BADLISHAH MAT
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan kerajaan negeri tetap akan menghentikan operasi premis perjudian di negeri itu walaupun meraih pendapatan sehingga jutaan ringgit hasil cukai, bayaran papan iklan atau pendapatan berkaitan kegiatan itu.
Beliau berkata, ‘kos’ membaiki kerosakan angkara perjudian lebih teruk diperlukan terutamanya terhadap masyarakat yang terjebak dalam kegiatan itu dan pihak-pihak lain yang menerima akibat ekoran kegiatan tidak bermoral itu.
Justeru katanya, kerajaan negeri langsung tidak terkesan dengan langkah menghentikan operasi premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu walaupun sektor berkenaan menyumbang pendapatan kira-kira RM400,000 setahun.
“Saya dah tengok pada tahun 2021 keseluruhan pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk premis-premis perjudian hanya sekitar RM400,000 setahun sahaja.
“Kalau RM400 juta pun saya nak ‘stop’ juga, ini kan pula RM400,000 lagi kena ‘stop’ sebab kesan dia buruk dan teruk.
“Nak ‘baiki’ masyarakat, ahli keluarga yang berselerak kerana bapa jadi tahi judi balik tabuh (pukul) anak, tabuh mak, juai harta, curi duit kerana gila judi lebih teruk daripada RM400,000 kerugian itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Kerajaan Kedah menghentikan pengeluaran lesen baharu kepada kesemua premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2023 setelah membuat keputusan terbabut ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2021.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga tidak akan melayani apa-apa desakan untuk kajian semula langkah terbabit.
“Takdak kerugian apa-apa, malah ada untungnya (kerana) masyarakat kita selamat, insha-Allah. Tindakan itu saya harap dapat sokongan dan Allah berkati usaha yang kita buat ini kerana ianya selari dengan tuntutan Allah.
“Allah akan tolong kita dapat hasil lebih banyak daripada sumber yang lain di samping dapat selamatkan masyarakat kita daripada kerosakan disebabkan perjudian.
“Takdak orang jadi kaya kerana judi, tokey judi sahaja kaya (sebaliknya) tahi judi, tikam nombor, bomoh karang (ramal nombor) takdak seorang yang kaya, semuanya papa kedana,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi meminta pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan untuk memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi dakwaan masih terdapat premis-premis yang beroperasi secara haram.
“Apa-apa kegiataan tidak berlesen ada agensi dan badan bertanggungjawab yang menguatkuasakan undang-undang. Kalau judi, pelacuran ada undang-undangnya dan kalau judi dalam talian ada agensi dan jabatan bertanggungjawab yang patut pantau perkara itu.
“Ini kerana kegiatan judi dalam talian tiada bidang kuasa kerajaan negeri, ianya di bawah Kerajaan Persekutuan dan jika mereka beralih kepada judi dalam talian saya harap agensi berkaitan ambil tindakan sewajarnya, saya hanya kuat kuasa apa yang ada bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Leave a Reply