Tampar pemain: KBS teruskan siasatan jurulatih bola tampar

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan siasatan ke atas jurulatih yang menampar dua pemain remajanya ketika satu kejohanan di Johor.

Menterinya, Hannah Yeoh menerusi catatan Twitter berkata, ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“@KBSMalaysia akan meneruskan siasatan bebas kami kerana ini bukan mengenai seorang jurulatih atau dua pemain, tetapi duluan yang akan kami tetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

“@FadhlinaSiddiq dan saya sedang meneliti perkara ini bersama. Terima kasih,” katanya merujuk menteri pendidikan itu, lapor Free Malaysia Today.

Klip video yang tular di media sosial menunjukkan jurulatih itu menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Tindakannya mengundang kemarahan ramai, termasuk Yeoh yang berkata, perbuatan itu salah.

Semalam, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam berkata, jurulatih itu sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit untuk memohon maaf.

Hari ini, bapa salah seorang pemain itu dilaporkan berkata, beliau sudah memaafkan jurulatih itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

Sementara itu, pasukan bola tampar wanita B14 Melaka tampil menyokong jurulatih mereka. Dalam catatan Twitter, mereka menggesa warganet berhenti menularkan insiden itu di media sosial.

“Henti viralkan isu ini kerana kami sayang jurulatih kami. Biarkan kami yang menilai baik dan buruknya. Kami sentiasa berdiri teguh di belakang jurulatih dan pasukan kami kerana kami pasukan Melaka.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *