PENGASAS Tesla dan pemilik Twitter, Elon Musk, 51, menjadi manusia pertama dalam sejarah kerugian AS$200 bilion (RM880 bilion) daripada nilai kekayaan, demikian menurut Indeks Bilionair Bloomberg.
Bilionair tersebut kerugian besar selepas beliau pada 2021 menjadi manusia kedua yang mengumpul kekayaan melebihi AS$200 bilion, selepas pengasas Amazon, Jeff Bezos.
Musk, yang nilai bersihnya mencapai kemuncak pada November 2021 sebanyak AS$340 bilion (RM1.5 trilion), menyaksikan kekayaannya menjunam kepada AS$137 bilion (RM603 bilion) apabila saham Tesla merosot 65 peratus sejak setahun lalu.
Ia prestasi terburuk pengeluar kereta elektrik itu setakat ini.
Penurunan itu termasuk kemerosotan 11 peratus lagi pada Selasa lalu selepas Wall Street Journal melaporkan bahawa lonjakan kes Covid-19 memaksa Tesla menghentikan sementara pengeluaran di Shanghai.
Dalam satu memo yang dihantar kepada kakitangan Rabu lalu, bilionair itu mengucapkan terima kasih di atas ‘usaha luar biasa’ mereka sepanjang tahun, namun tidak terlalu menyentuh mengenai prestasi buruk saham syarikat itu.
“Jangan terlalu terganggu dengan kegilaan pasaran saham,” kata Musk dalam satu memo yang dilihat oleh CNBC.
“Apabila kita mempamerkan prestasi cemerlang berterusan, pasaran akan mengiktirafnya,” lapor Berita Harian.
Musk kehilangan takhta sebagai manusia terkaya di dunia awal bulan lalu, apabila gelaran itu diserahkan kepada Bernard Arnault, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LVMH.
Leave a Reply