PENGANALIS meramalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan runtuh sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertembung, pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tahun ini.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, keutamaan paling penting Anwar ketika ini demi memastikan PH dan BN bekerjasama di peringkat Pusat dan negeri.
Jelasnya, ini termasuk pilihan raya kerajaan tempatan sekiranya pemilihan berkenaan dihidupkan kembali.
“Jika mereka bertembung, ia memaparkan perpaduan ditunjukkan di peringkat pusat lemah.
“Cukup penting (bagi gabungan itu bekerjasama pada PRN) untuk menyakinkan rakyat PH dan BN benar-benar serius mengekalkan perpaduan di peringkat pusat bagi tempoh empat ke lima tahun lagi,” katanya memetik laporan FMT.
Sementara itu,Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, sasaran utama bagi PH dan BN menuju PRN untuk tidak bertembung sama sekali, sekali gus mengurangkan kelebihan kepada Perikatan Nasional susulan daripada perpecahan undi.
Beliau yakin perpaduan dalam kerajaan Pusat bukan kebimbangan sebenar.
“Kebimbangan besar adalah tumpas kepada PN kerana berlaku pertindihan kerusi,” katanya.
Beliau berkata, sama ada BN mahupun PH mempunyai sebarang insentif untuk bergerak solo pada PRN mengambil kira ‘usaha terangkum pun belum tentu dapat menewaskan PN’.
Anwar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum Tahun Baharu Cina bagi membincangkan persiapan bagi PRN di Pulau Pinang.
Antara agenda mesyuarat itu dijangka membincangkan kerjasama dalam kerajaan menjelang PRN dan agihan kerusi dalam kalangan parti.
Enam negeri akan mengadakan PRN tahun ini membabitkan negeri diterajui PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan negeri diperintah Pas, di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sebelum ini, PH Selangor dan Negeri Sembilan ada menyatakan keterbukaan bekerjasama dengan BN, pada PRN.
Terdahulu, PH dan Pas enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan PRU15, yang diadakan pada 19 November.
Semua enam negeri mesti mengadakan PRN menjelang September.
Leave a Reply