BEKAS Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa memfitnahnya berhubung isu penjualan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
“Kenyataan individu berkenaan menerusi beberapa hantaran menerusi media sosial mereka, sudah menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk saya sendiri,” katanya.
Tegas beliau, perkara itu selepas dirujuk serta meneliti secara mendalam bersama peguamnya.
“Saya tiada pilihan melainkan mengarahkan peguam mengambil tindakan menurut jalur undang-undang terhadap tiga individu iaitu Adrian Lim Chee En, K. Pragalath Kumar dan Mohd. Razlan Rafii.
“Ada juga yang membuat ‘posting’ (hantaran) tanpa mengemukakan identiti sebenar mereka dan pihak saya akan cuba untuk mengenal pasti mereka.
“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, sejak tercetus polimik berhubung Menara KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh anak syarikat Telekom Malaysia (TM), Menara KL Sdn Bhd (MKLSB), sudah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan.
“Setiap perkara berbangkit, terutama yang membabitkan kepentingan rakyat dan negara perlulah disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.
“Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya, lapor Berita Harian.
Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular dalam media sosial, baru-baru ini
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan beberapa hari ini lalu memaklumkan sudah memanggil tiga saksi, bagi membantu siasatan isu pemindahan hak milik pengurusan Menara KL.
SPRM juga mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan untuk diteliti, dengan siasatan bertumpu sama ada terdapat elemen rasuah dalam penjualan saham anak syarikat TM itu kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu, berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL.
Leave a Reply