VARIAN BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang menular di China ketika ini, disifatkan tidak mendatangkan kesan jangkitan teruk di negara ini memandangkan hampir 90 peratus penduduk sudah divaksin.
Menurut Pakar Virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, ia juga boleh dilihat menerusi laporan di China yang tidak menunjukkan kadar kematian atau kemasukan ke hospital yang tinggi.
Virus yang ada itu katanya akan sentiasa bermutasi kerana ia adalah proses biasa bagi terus berkembang dan menyesuaikan hidup dengan manusia.
“Ramai yang tersalah anggap dengan menyifatkan mutasi baharu itu berbahaya, tetapi sebenarnya ia tidak meninggalkan kesan yang teruk.
“Kedua-dua jenis varian ini hanya dibezakan berdasarkan penjujukan yang sentiasa berubah-ubah pada bahagian genetik dan ia adalah perkara biasa.
“Untuk varian BA.5.2 dan BF.7 ini, gejalanya kurang menyebabkan penyakit teruk manakala jangkitannya sederhana kerana hampir semua orang sudah divaksin,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.
Dr Sazaly berkata, vaksin penggalak tambahan perlu diambil oleh individu berisiko tinggi kerana berkemungkinan status imun mereka semakin rendah dan memerlukan dos tambahan bagi merangsang sistem imun sedia ada.
“Saya berpandangan tiada masalah kita menerima kedatangan pelancong dari China, namun perkara utama perlu dilakukan ialah memastikan mereka melakukan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) sebelum menaiki pesawat dan ketika tiba di negara ini untuk memastikan mereka benar-benar negatif.
“Sekiranya positif, rawatan yang perlu dilakukan agak tinggi selain perlu melindungi mereka yang mempunyai penyakit serius.
“Ujian pantas (RTK) Antigen tidak digalakkan kerana ia kurang sensitif dan dalam masa sama, amalan pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan patut diteruskan bagi melindungi jangkitan saluran penafasan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Kesihatan Negara, Dr Ravindran Thayan berkata, setakat ini varian XBB subvarian Omicron yang menguasai penularan COVID-19 di negara ini, selain BA.2.75 dan BQ.1.
Katanya, virus sentiasa bermutasi untuk hidup dan apabila tersebar dalam komuniti, ia memberi kelebihan untuknya terus membiak dan menghasilkan varian baharu.
“Varian BA.5.2 dan BF.7 dijangka mempunyai kebolehjangkitan tinggi tetapi tidak memudaratkan hingga memberi kesan kepada kadar kematian dan kemasukan ke hospital.
“Varian BA.5.2 sudah dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022 manakala BF.7 ditemui di Belgium pada Mei 2022, maka susah untuk mengatakan ia berasal dari China.
“Tahap berbahaya tidak boleh dijangkakan kerana ia belum dilabel sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Bagaimanapun, hospital di negara kita sentiasa bersedia dan jika berlaku jangkitan semula, segera ke hospital dan dapatkan rawatan,” katanya.
Leave a Reply