Polis siasat video tular lelaki bawa pistol bergaduh dengan penarik kereta

POLIS membuka kertas siasatan kes seorang lelaki yang didakwa membawa sepucuk pistol ketika bertengkar dengan sekumpulan ejen penarik kereta di kawasan parkir Taman Jambu, Jalan Sin Onn, Tawau, pukul 2.30 petang Jumaat lalu.

Insiden tersebut tular dalam media sosial sejak kelmarin dan laporan polis sudah dibuat kedua-dua pihak terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan salah faham di antara ejen penarik kereta dan seorang lelaki merupakan ahli perniagaan berkenaan kereta yang didakwa milik isterinya.

“Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil daripada kedua-dua mereka.

“Semakan juga mendapati ahli perniagaan itu mempunyai lesen pemilikan senjata api,” kata Jasmin, lapor Astro Awani, hari ini.

Menurutnya, polis akan mengemukakan hasil siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Jasmin memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Polis juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *