SEORANG pemancing terkejut apabila menemukan satu mayat lelaki dengan empat kesan tembakan di kepala tersangkut pada pokok di tebing Sungai Golok di Bukit Bunga, Tanah Merah, Tumpat, semalam.
Mayat berkenaan yang hanya berseluar tanpa baju ditemui di Pangkalan Haram Belakang Berek 12 dalam keadaan mereput pada jam 3 petang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata tiada sebarang pengenalan diri dijumpai bersama mayat tersebut.
“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya kematiannya sudah lebih dua minggu dan memandangkan ia sudah mereput, proses pengecaman agar sukar dibuat.
“Begitu juga dengan kesan tembakan, kita percaya mangsa ditembak dalam jarak dekat namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui jenis pistol yang digunakan.
“Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tanah Merah dan kita juga akan melihat kesan lain di badan termasuk kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) serta dapatkan cap jari untuk ujian DNA (asid deoksiribonukleik),” katanya pada sidang media di Tumpat, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, hebahan sudah dibuat kepada semua daerah di negeri ini bagi mengetahui sama ada terdapat laporan mengenai orang hilang atau sebarang insiden.
Katanya, hebahan sama juga dijalankan di sebelah negara jiran (Thailand) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu, beliau hadir di Balai Polis Wakaf Bharu bagi menyempurnakan majlis anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2021 yang dimenangi oleh balai polis terbabit.
Dalam perkembangan empat anggota polis yang terbabit dalam siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti serta mengambil beberapa kenyataan lagi untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Setakat ini ada bukti menunjukkan tapi kita perlukan masa untuk meneliti dan mengambil beberapa kenyataan lagi untuk membantu siasatan sebelum laporan dihantar kepada pihak atasan.
“Kita tak nafikan dalam PDRM ada yang membuat sesuatu yang menyalahi peraturan dan kami tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan secara adil,” katanya, lapor Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan empat anggota polis yang berpangkat konstabel dan koperal ditahan bagi membantu siasatan untuk kes samun dan cabul pada Rabu lalu.
Keempat-empat suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/354 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply