KKM tingkat kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes virus berkenaan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu adalah memberi respons dan perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang telah dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara berkenaan.

“Perkara ini sememangnya merupakan keutamaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini.

“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘kawasan tempatan jangkitan’ sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang tiba dari China bahkan yang tiba dari mana-mana negara.

KKM juga katanya, sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.

Selain itu katanya, KKM sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat dan berdasarkan laporan.

“Pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan pihak China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan Covid-19 di negara tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan negara China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia,” ujar beliau.

Merujuk kepada maklumat sedia ada, Dr. Zaliha berkata, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus Covid-19 dan sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital.

Selain itu katanya, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.

Jelasnya, pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.

Sehubungan itu, KKM katanya, menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

Dr. Zaliha menjelaskan, ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.

KKM amat berharap ujarnya, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.

“Di samping itu, saya ingin terus mengingatkan rakyat untuk terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *