KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat dan tidak akan berkompromi terhadap tindakan individu dipercayai jurulatih yang menampar pemain bola tampar perempuan dalam video tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan perkara berkenaan dan laporan penuh akan menyusul nanti.
“KPM mohon saksi untuk tampil beri keterangan. Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter, semalam.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan beliau sudah berbincang dengan Fadhlina mengenai perkara berkenaan.
“Ini (kejadian tampar) adalah salah. Kami (bersama Fadhlina) sedang mendapatkan lebih maklumat mengenai perkara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan satu video memaparkan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain tular di media sosial, baru-baru ini.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun (B-14) 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.
Difahamkan perlawanan penentuan tempat ketiga itu membabitkan pasukan Melaka menentang Johor di sebuah sekolah di Johor.
Berdasarkan video yang disiarkan secara langsung di Facebook itu, individu dipercayai jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemain yang menyebabkan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.
Leave a Reply