Abai aspek kebersihan, gerai roti canai popular di Georgetown diarah tutup 14 hari

SEBUAH gerai roti canai popular di Jalan Transfer, Georgetown, Pulau Pinang diarah tutup selama dua minggu bermula hari ini kerana gagal mematuhi aspek kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Agro-Tech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, gerai itu diarahkan tutup susulan tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut beliau, notis penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut yang memeriksa premis berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

”Arahan penutupan ini dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, pemilik gerai juga perlu melakukan kerja-kerja pembersihan dan gerai ini turut dikenakan kompaun RM500,” katanya kepada pemberita hari ini.

Gerai yang menjadi tumpuan pelancong yang sanggup beratur panjang setiap pagi itu sebelum ini tular di dalam media sosial selepas dikatakan mengabaikan kebersihan ketika menyediakan roti canai untuk para pelanggan.

Menerusi video yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok, seorang pelanggan mempersoalkan kebersihan di gerai itu selepas mendakwa telur-telur yang digunakan di gerai itu telah pecah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *