KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM tidak hanya bergantung kepada satu cara bagi menyaring kedatangan pengembara dari luar, termasuk China ke negara ini dalam membendung penularan COVID-19.
“Bukan satu cara sahaja kerana banyak negara masih memantau sebelum sebarang tindakan bersesuaian dijalankan. Kaedah bersesuaian antaranya keperluan vaksinasi penuh dan sebagainya,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pakar kesihatan supaya KKM menambah proses tapisan pengembara dari luar negara, termasuk China ke negara ini, termasuk mewajibkan keputusan negatif ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (PCR) COVID-19.
Mereka berpendapat dua langkah yang diumumkan KKM iaitu melakukan saringan demam dan pengambilan sampel air kumbahan pesawat dari China tidak memadai bagi mengekang jangkitan wabak COVID-19, dari republik itu ke Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.
Noor Hisham berkata, dua kaedah itu adalah sebagai melengkapkan sistem pengawasan buat masa ini.
Terdahulu, China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 mulai 8 Januari ini, termasuk pembukaan sempadan republik itu, selain tidak mengenakan kuarantin ke atas pengembara yang memasuki negara itu.
Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan dan jumlah kematian yang membimbangkan.
Leave a Reply