c
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, sejarah berulang kali membuktikan parti itu pernah menyelamatkan UMNO dan menjadi rumah tumpangan terhadap pemimpin yang disingkirkan parti itu.
“Pas dan parti-parti komponen dalam PN tidak akan ‘membunuh’ UMNO sepertimana yang diiklankan oleh segelintir pemimpin yang hanya melompat ke pokok yang dilihat akan buahnya sahaja, laksana kera yang kelaparan.
“Sejarah secara berulang kali telah membuktikan Pas bersama UMNO ketika bermulanya perjuangan kemerdekaan lagi khususnya bagi menyelamatkan keadaan ketika berlakunya darurat Komunis.
“Apabila Pas menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sewaktu berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.
“Pas juga laksana rumah tumpangan kepada pemimpin UMNO yang disingkirkan apabila berlaku krisis dalaman antara mereka,” kata Abdul Hadi menerusi ruangan Minda Presiden hari ini.
Mengulas lanjut, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mendakwa, tidak mustahil DAP yang kini menjadi rakan sekutu UMNO dalam kerajaan sekarang akan menelan parti itu.
Menurut beliau, situasi itu pernah dihadapi oleh UMNO seperti mana yang pernah berlaku di Singapura.
“Sebaliknya, dalil tidak mustahil DAP ‘menelan’ UMNO sepertimana sejarah berlaku di Singapura, apabila UMNO ketika itu ditelan oleh PAP yang kemudiannya telah melahirkan DAP.
“Sejarah juga membuktikan Pas banyak membantu UMNO dan dakwaan akan ‘membunuh’ UMNO jika kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar serta mengarut.
“Sesiapa yang kata bahawa Pas nak bunuh UMNO, tanya dulu siapakah yang bunuh UMNO di Singapura dahulu? Jawapannya ialah PAP (People Action Party) bukan Pas,” katanya.
Pada masa sama, Hadi juga mengingatkan UMNO mengenai percaturan yang dibuat dengan memilih untuk bekerjasama dengan DAP yang menurut ahli Parlimen Marang itu akan merugikan orang Melayu dan Islam.
Katanya, Pas yang pernah bekerjasama dengan DAP akhirnya terpaksa menolak parti itu kerana menentang perjuangan Islam yang dibawa olehnya.
Antara penentangan yang dilakukan oleh DAP, katanya, termasuk menghalang dan mengkritik usaha Pas untuk mengharamkan arak kepada orang Islam sekali pun ia diizinkan kepada orang bukan Islam.
Selain itu katanya, DAP turut menentang keras pelaksanaan syariat di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pas walaupun ia hanya dilaksanakan ke atas penganut Islam sahaja.
“Ada orang kata mengapa dahulu Pas berkawan dengan DAP, maka jawabnya, dahulu kita berkawan dengan DAP berkonsepkan tahaluf siyasi yang membolehkan kita menentang kezaliman dan penyelewengan atas titik persamaan.
“Akan tetapi DAP tidak menghormati konsep adanya perbezaan apabila mereka menentang Islam, malah menentang dasar-dasar dan perjuangan Pas. Bahkan, secara terbuka mereka membela orang Islam yang murtad,” dakwa beliau lagi.
Leave a Reply